Tuesday, 26 April 2011

SAJAK "MAHSURI"

video

SAJAK MAHSURI ( Zurinah Hassan), ANTOLOGI HARGA REMAJA

Sajak Mahsuri


Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci

Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.

 Zurinah Hassan
Antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka


Maksud Sajak.

Rangkap 1 :  Aura Mahsuri menyebabkan kewujudannya masih terasa dan seolah-olah menyambut setiap tetamu yang mengujungi Pulau Langkawi.  Selain lambang kesetiaan, Mahsuri juga menyimpan dendam terhadap orang yang menzaliminya. Dendam dan sumpahan Mahsuri berlarutan hingga tujuh keturunan.  Cerita Mahsuri itu telah memakmurkan Langkawi kerana tanpa Mahsuri, Langkawi tidak akan terkenal seperti hari ini.

Rangkap 2 :  Ada yang berpendapat bahawa Mahsuri tidak pernah wujud.  Kisah dongengnya hanya diceritakan oleh tukang cerita.  Ada pula yang berpendapat bahawa Mahsuri memang pernah hidup di Langkawi, Cuma kisahnya diceritakan secara lebih menarik dan dramatic oleh para sasterawan.  Perdebatan tersebut telah menjadikan sejarah Mahsuri dan Langkawi itu sendiri lebih bererti.  Oleh itu, sebenarnya Mahsuri yang menghidupkan Langkawi manakala sasteralah yang menghidupkan dunia kesusuteraan tanah air.


Tema.

Sejarah Mahsuri dan peranan sastera dalam pembangunan Langkawi.


Persoalan.

1.      Kesetiaan yang tidak dihargai.
2.      Dendam dan kemarahan Mahsuri terhadap orang  yang menganiayainya.
3.      Kesusasteraan mampu menyerlahkan sejarah Pulau Langkawi.
4.      Pertikaian tentang kewujudan kisah Mahsuri di Langkawi.
Nilai.

1.      Kesetiaan : Kisah Mahsuri yang setia sehingga namanya terkenal
2.      Memaafkan : Memaafkan orang adalah lebih baik daripada menghukum,
3.      Rasional :  Bersikap rasional dalam memberi hukuman.


Pengajaran.

1.       Kita perlu menyelidik dengan teliti sebelum menjatuhkan hukuman.
2.       Janganlah mengamalkan sikap suka berdendam.
3.      Jangan menganiaya orang yang tidak berdosa.
4.       Hargailah sastera yang mampu menaikkan nama negara.




Latihan Pemahaman.

(i)                 Apakah maksud frasa sastera yang mewarnai tanah air dalam sajak “Mahsuri”?    
( 2 markah )
(ii)               Mengapah sumpah Mahsuri menghidupkan Langkawi? ( 4 markah )
(iii)             Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam sajak “Mahsuri”? ( 3 markah )
      

2 comments: